16 May 2011

KRITIKAN DAN APRESIASI SENI: APA YANG DICARI SUDAH TERJUMPA?




Kritikan dan apresiasi seni visual dalam menilai dan menganalisis karya-karya seni adalah proses pembelajaran yang bersistematik dalam bentuk proses berfikir. Sememangnya perlu diterap dan disemai dalam kurikulum mulai sekolah rendah lagi namun sejauhmana idea ini dapat direalisasikan. Isu ini sentiasa mendapat perhatian daripada pendidik seni dan menarik perhatian penggubal kurikulum, pensyarah dan orang ramai. Keperluan isu ini penting untuk difikirkan bagi melahirkan modal insan yang terdidik berfikir secara kreatif dan kritis. Secara tidak langsung ilmu berhujah dan membuat interpritasi seni menuju ke arah yang positif dalam melahirkan generasi pewaris yang tahu membuat seni, bercakap tentang seni dan mengangkat martabat karya seni itu sebagai karya yang halus.


Keperluan kritikan dalam apresiasi memerlukan pengetahuan dalam menilai dan menganalisis hasil kerja seni. Keperluan ini disentuh secara tidak langsung dalam kehidupan seharian namun secara asasnya nilai indah sebagai elemen estetik itu berkait dan berkembang bersama ilmu bantu lain. Hubungkait perkembangan ilmu ini dilihat saling membantu antara elemen dan prinsip seni dengan hasil kerja seni yang dihayati.


Pengetahuan sedia ada ini sebagai satu

lapisan luaran yang memerlukan pengukuhan mantap dari segi falsafah estetik

bersama perspektif perbandingan antara teori seni, sejarah, periwayatan artis,

dokumentasi, input sedia ada dengan pengayaan skil dan teknik pengkaryaan.

Darjah pemikiran manusia dalam menginterpritasi karya seni adalah berbeza dan menghasilkan pelbagai interpritasi. Barangkali ada yang bersetuju masih terdapat sebahagian kecil artis-artis di Malaysia yang berkarya sekadar melayan rasa dan perasaan. Hasil karya itu apabila dikomen melalui input apresiasi dan sedikit tersentuh dari aspek-aspek kelemahan menyebabkan nilai pemikiran dan usaha menceliksenikan masyarakat terbantut. Suatu pertemuan ilmu yang murni dan bermanfaat tidak tercapai dan ada pandangan prejudis antara pengkarya dengan penikmat. Walaupun usaha yang baik dan niat yang murni itu telah terpesong namun usaha mencari yang terbaik itu patut diteruskan. Itu adalah tugas pengkritik seni. Bagi peminat dan khalayak seni marhain pula ungkapan biasa keluar dari mulut ialah sama ada cantik dan tidak cantik.


Dengan menyatakan karya seni itu berada pada tahap baik bermaksud meletakkan seni itu pada tahap keunggulan sebagai satu hasil karya yang halus. Mana lebih sesuai disebut dengan menyatakan, “saya suka karya ini”atau “saya suka karya ini kerana ia ada membawa satu dorongan untuk kita kaitkan dengan aspek-aspek psikologi yang ada perkaitan dalam terapi seni”. Inilah contoh keperluan kritikan seni sebagai suatu bentuk proses berfikir atau sekurang-kurangnya dapat diterapkan dalam perbincangan yang berlunaskan nilai-nilai hormat menghormati.


Bagi Bernard Harrison, beliau membawa pandangan yang dikenali sebagai“kritikan secara nature” dengan meletakkan sesuatu karya itu baik setelah mengenalpasti beberapa kualiti yang terserlah. Dalam istilahR.G.Collingwood, kualiti ini dapat disenaraikan sebagai cara kita memahami apakah itu seni dan apakah yang dikatakan bukan seni. Sama ada ia dalam objek atau sudah ada tersemat di dalam minda boleh membawa perkaitan dengan kesempurnaan dan dianggap menjadi sebahagian daripada teori-teori seni.


Perasaan yang bercampurbaur dengan pengalaman estetik dapat membantu memperhalusi karya-karya seni secara “nature” dan bagi menjelaskan kualiti“nature” ini memerlukan kesinambungan dalam kritikan. Adalah mustahil untuk membuat keputusan antara yang baik dalam kritikan sebelum penghakiman yang akhir terjadi sehingga tiada sesiapapun yang tahu tentang seni. Dicadangkan lebih baik diketahui sesuatu yang kita suka dan minat supaya penilaian dan keputusan yang dibuat ke atas karya-karya seni berlaku secara adil. Diakui kritikan dan apresiasi seni tidak bergantung pada keistimewaan yang ada dalam karya seni semata-mata. Kritikan juga dianggap mampu dibuat apabila percubaan yang dilakukan boleh menjangkau sesuatu dengan tepat setelah dikenalpasti dan dianggap munasabah. Sebagai pengetahuan umum, jarak yang adil dan munasabah boleh membantu supaya hasil seni dilihat halus dan sifat-sifat seni yang baik boleh didekati dan dirunding bersama secara lebih “nature”.


Terdapat dua motif utama dalam pendekatan kualiti “nature” yang boleh membantu kritikan itu berada pada dasar yang adil.

1. Menerapkan nilai adil pada asas-asas yang munasabah yang menampakkan perbezaan

antara kritikan melulu dengan kritikan berbantukan penglihatan dan tafsiran yang adil.

2. Menerapkan nilai saksama bagi menunjukkan kenapa seni itu penting di dalam aktiviti

kehidupan manusia.


Penilaian dan apresiasi seni haruslah tidak terkongkong sama ada dalam statusnya tersendiri atau dalam lengkongan pengikutnya. Hilangkan kongkongan dan benteng yang menjadikan ia karya berstatus kepada karya yang diperagakan untuk suatu pengetahuan yang istimewa. Jika terlalu banyak kongkongan dalam menilai seni, boleh menjadikan seni itu kaku dan terhad kepada golongan tertentu. Suatu cara yang dicadangkan ialah kaitkan seni itu dengan fungsinya yang berbagai. Cara sebegini boleh memperkembangkan seni itu dalam statusnya yang luas dan apabila fungsi itu dikaitkan bersama karya seni, aspek nilai akan turut dibicarakan bersama.


Antara fungsi dan nilai dalam penghasilan seni terkandung keindahan yang dapat ditafsir dari berbagai sudut. Tafsiran yang mencari kesempurnaan pada objek yang dihasilkan dapat dilihat dari sudut luaran dan dalaman. Manakala nilai seni itu diletakkan sejajar dengan kehendak masyarakat yang membawa kesan pengaruh mempengaruhi.


Kesempurnaan dalam karya seni ditafsir, dinilai dan diberi kedudukannya. Harus diingat segala aspek kesempurnaan itu ada batas perbezaan yang dipengaruhi oleh perbezaan persepsi, pengalaman, ilmu dan jurang perbezaan silang budaya. Ini menjadikan nilai sempurna dan tidak sempurnanya hasilan seni adalah suatu yang subjektif.



Dipetik daripada http://risalahproseni.blogspot.com/

1 comment:

  1. Pembelajaran dan penghayatan seni visual ketandusan nilai kritikan dan apresiasi. Hal ini disedari apabila bahasa visual tidak fahami oleh sebilangan masyarakat dan khalayak seni sebagai pembuat seni berada dalam dunianya yang tersendiri.

    ReplyDelete