19 February 2009

Membongkar dunia Latiff Mohidin




LATIFF Mohidin... Kepenyairan dan kreativiti visualnya diperkatakan pada Seminar Kefahaman Budaya Ke-XII di USM, Pulau Pinang. PENYAIR dan pelukis, Abdul Latiff Mohidin dan karya-karya lukisan ekspresionismenya, Pago-Pago sangat sinonim. Siri tersebut dianggap sebagai lukisan jiwa dan mata hatinya. Begitu juga kumpulan sajak Sungai Mekong (1972), Kembara Malam (1974), Wayang Pak Dalang (1977), Garis: Dari Titik ke Titik (1998), Rawa-Rawa (1992) yang berjaya menaikkan namanya sebagai penyair dan pelukis besar tanah air. Puisi dan lukisannya merupakan catatan verbal serta visual kepada anak kelahiran Lenggeng, Negeri Sembilan pada 1938 itu. Sebuah kata dan secalit warna untuk mencerita segalanya dari perspektif seni sejak 1960-an. Dalam genre puisi misalnya, sajak Sungai Mekong yang ditulis pada 1 Februari 1966, menggambarkan seorang ibu sedang mencari puteranya yang hilang di Sungai Mekong akibat perang Vietnam, sangat memukau. Puisi Sungai Kelang yang ditulis pada Oktober 1967 pula, Abdul Latiff menggambarkan kesedihannya melihat Sungai Kelang yang kotor akibat pembuangan sampah oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Abdul Latiff menggunakan nama pena seperti A. Latiff Mohidin dan Alma mendapat pendidikan formal dalam bidang seni lukis dari Academy of Fine Arts, Berlin pada pertengahan 1960-an. Beliau pernah mengikuti kursus seni goresan di Atelier La Courrier, Paris pada 1969 dan di Pratt Graphic Centre, New York, Amerika Syarikat. Sepanjang kerjaya seni lukisnya, Abdul Latiff pernah mengadakan beberapa pameran lukisan di dalam dan luar negara termasuk di Bonn, Berlin, Frankfurt, Hamburg, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Sao Paulo, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London. Sesungguhnya sumbangan beliau kepada dunia seni lukis dan kepenyairan negara cukup besar. Namun, faktor usia dan kesihatan membataskan aktiviti seninya kini. Bagaimanapun, kelibatnya tetap dinanti oleh khalayak sastera dan seni tampak tanah air. Pada 1 September ini, Abdul Latiff terpilih sebagai tokoh seni yang dibicarakan pada Seminar Kefahaman Budaya Ke-XII bertema Dari Warna ke Bahasa: Lukisan dan Puisi Latiff Mohidin di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, Pulau Pinang. Sebanyak lapan kertas kerja mengenai ketokohan beliau dalam aspek seni lukis, kepenyairan, simbolisme dalam karya, pemikiran dan aspek leksikografi karya. Para pembentang kertas kerja ialah Prof. Madya Dr. Zakaria Ali (Latif Mohidin Sebagai Seorang Pelukis), Marzuki Ali (Kepenyairan Latiff Mohidin) dan Dr. Fatimah Busu (Sungai Mekong oleh Latiff Mohidin: Melapis-lapis Kepelbagaian Elemen). Pembentang lain ialah Prof. Madya Dr. Arndt Graf (Penggunaan Topoi Warna dan Cahaya Dalam Puisi Latiff Mohidin), Dr. Ahmad Suhaimi Mohd. Noor (Pemikiran Pengembaraan Dalam Lukisan Latiff Mohidin). Tiga Lagi pembentang kertas kerja seminar tersebut ialah Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Latiff Mohidin: Sajak-sajak Lengkap, 1963-1994), Dr. Lalita Sinha (Di Pantai Dunia Tiada Bertepi: Terjemahan Puisi oleh A. Latiff Mohidin) dan Amanda Katherine Rath (Cohesive Interlayers: Dualism in the Visual Works of Latiff Mohidin). Dipetik dari:
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment